KUMBANG dan BUNGA

Wahai Sang Kumbang...
Kau diberi kelebihan untuk menghisap madu bunga-bungaan,
Kau diberi peluang memeliharanya dengan kudrat tangan,
Kau diberi mandat membetulkan lenggokan bunga-bunga yang harum di taman,
Harus kau ingat amanah ini bukan mainan mahupun satu kebanggaan.

Wahai Sang Kumbang...
Tatkala Kau bertaut pada bungaan yang berduri,
Janganlah sesekali Kau kasari dengan kerakusan hati,
Kerana baginya itulah satu-satunya perisai diri,
Sebaiknya Kau belailah ia dengan kasih sayang dan rasa takwa kepada Ilahi.

Wahai Sang Kumbang...
Janganlah sesekali Kau meleraikan kelopak bunga yang sedang berkembang,
Janganlah sesekali Kau mencemarkan bunga-bunga yang indah dipandang,
Janganlah sesekali Kau patahkan ranting untuknya bertaut meneruskan kehidupan,
Janganlah sesekali Kau menjadi kumbang yang cacat dan menjengkelkan.

Wahai Sang Kumbang...
Ingatlah kuntuman bunga-bunga ini mendambakan kehidupan abadi,
Bukanlah kehidupan sejenak yang menjanjikan kebahagiaan sementara ini,
Ingatlah bunga-bunga ini bukan untuk santapanmu yang bernafsu berahi,
Tetapi bunga-bunga ini amanah kepadamu untuk kau hayati dan hargai.

Wahai Sang Kumbang...
Kau bebas terbang dan bertaut di Bunga yang kau dambakan,
Namun, perlu Kau ingat bukanlah nafsu yang harus menjadi ukuran,
Cukuplah sekadar apa yang kau mampu untuk hadamkan,
Semarakkanlah ia dengan baja-bajaan yang diamanahkan.

Wahai Sang Kumbang...
Janganlah dirimu terbang menghisap madu dan berlalu pergi,
Usah bebankan hati Bunga yang tidak mampu terbang tinggi,
Setialah di situ dan didiklah ia dengan kasih yang suci,
Semoga Kau bisa menjadi Kumbang yang sentiasa dirahmati.

RenuNgkan lah~

Petang itu langit mendung, kelam dan begitu sarat bagai mahu meruntuh.
Seorang ibu menziarahi pusara anaknya. Bersama linangan air mata. Terdengar sayup-sayup suaranya yang menyatakan cinta pada Allah Yang Maha Esa. Mengirimkan kasih yang menebal di dada pada anak yang telah tiada.
Dalam suasana hening itu, surah Yassin dialunkan dengan penuh tertib. Tersentuh hati kecil ini yang turut sama menemani si ibu di pusara.
Terdetik di hati, apakah habuan yang ada untukku nanti? Allahu Akbar, apakah agaknya situasi yang akan aku tempuhi? Bergetar rasa di hati, bila mengenangkan mati yang makin menghampiri.
Melihat situasi yang Allah aturkan buat si adik yang telah pergi, hati rasa bahagia sekalipun kehilangannya benar-benar terasa. Saat menghadapi sakaratul maut, ibu tercinta ada di sisi. Dibelai dan diusap dengan kalimah-kalimah suci. Hingga perginya dengan aman sekali. Subhanallah, berbahagialah kamu, wahai adikku.
Kini, pusaramu tidak pernah sunyi dengan kiriman-kiriman doa daripada ibu yang melahirkanmu. Juga daripada abang, kakak dan adikmu yang sentiasa memohon agar dirimu diampuni dan dirahmati. Berbahagialah kamu, wahai adikku.
Suatu waktu, pasti ibu dan kakak akan menyusulmu. Sebagaimana kau telah menemani abah di sini. Begitu juga dengan yang lainnya. Setiap daripada kita telah berjanji pada Pencipta diri. Janji yang tidak dapat kita lari. Janji yang pasti kan termetrai, cuma bila dan di mana itu yang tidak pasti. Hanya Yang Menguasai mengaturnya tanpa kita sedari.
Adikku,
Rintik-rintik hujan mula menyimbahi bumi,
Kakak dan ibu terpaksa pergi,
Insya-Allah, jika punya usia kakak dan ibu pasti ke sini lagi,
Yang pasti kalungan doa buatmu dan abah serta muslimin muslimat yang lainnya akan sentiasa mengiringi,
Moga persinggahan kalian di sini,
Persinggahan yang mewangi,
Merehatkan diri daripada kekalutan duniawi,
Sementara menantikan hari kebangkitan yang dijanjikan Ilahi.

Sesungguhnya janji Allah itu benar, dan suatu waktu hamba yang dijadikan-Nya akan berkubur jua. Tiada lagi kehebatan dunia, sebaliknya kematian itulah kenyataan, kenyataan yang sering dilupai hamba yang bergelar insan. Astaghfirullah.
"Al Fatihah, buat semua muslimin muslimat yang telah tiada."